Perodua perkenal Perodua X-Concept di KLIMS 18

Bernama
November 22, 2018 14:36 MYT
Perodua X-Concept menampilkan antaranya gril depan yang diterangi LED dan logo Perodua serta lampu depan LED berbentuk Y yang rendah. - Facebook Edpixs Motorcycling Photography
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini memperkenalkan X-Concept, kenderaan berkonsepkan pelbagai teknologi ke arah aspirasi dan gaya hidup pada masa depan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 18).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Perodua X-Concept adalah manifestasi kepada visi Perodua pada masa depan, yang mana kereta menjadi gaya hidup yang pertama, cara pengangkutan yang kedua serta dilengkapi dengan teknologi yang disambungkan.
"Pengunjung dialu-alukan untuk berinteraksi kepada pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua untuk memberikan maklum balas dan pandangan dan kami membenarkan orang awam untuk 'memandu' dan merasainya sendiri pengalamannya menerusi kehebatan realiti maya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan profil hatchback yang dinamik, Perodua X-Concept menampilkan antaranya gril depan yang diterangi LED dan logo Perodua serta lampu depan LED berbentuk Y yang rendah.
Sementara itu bahagian dalaman kereta menampilkan antaranya susun atur papan pemuka yang dilengkapi panel instrumen transistor filem yang nipis serta skrin sentuh berpusat 12.9 inci.
KLIMS18 dibuka kepada orang ramai bermula esok sehingga 2 Dis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). -- Bernama
#Perodua X Concept