KUALA LUMPUR: Perodua telah menerima sebanyak 24,265 tempahan pada bulan Julai, sekali gus membuktikan permintaan bagi kenderaannya masih kukuh walaupun cukai jualan bagi kenderaan baharu diperkenalkan semula pada 1 Julai 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan untuk tempoh Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7 peratus kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada jangka masa sama tahun lepas.

"Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan ini. Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

"Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung pandemik COVID-19 pada masa itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, bilangan tempahan kenderaan baharu walaupun tidak setinggi prestasi separuh pertama tahun 2022, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan dan ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah untuk berkembang.

Beliau berkata, Perodua Alza serba baharu yang menyasarkan jualan 3,000 unit sebulan setakat ini menerima 39,000 tempahan dengan 9,000 unit telah diterima pada bulan Julai.

"Walaupun angka jualan sehingga kini adalah kukuh, masih lagi terdapat beberapa isu yang belum selesai seperti kekurangan tenaga kerja dan bekalan cip semikonduktor yang masih belum stabil, jelas beliau.

Berikutan isu-isu ini, beliau berkata, jualan bulanan Perodua merosot sebanyak 13.3 peratus kepada 18,346 unit pada bulan Julai berbanding 21,164 unit kenderaan yang dijual pada bulan Jun lepas.

Zainal Abidin berkata, pihak Perodua sedang bekerja rapat dengan kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor automotif menjelang awal Ogos ini dan syarikat pengeluar kereta itu menjangkakan pengeluaran dapat beroperasi sepenuhnya bermula bulan ini.

Mengenai isu kekurangan bekalan cip semikonduktor pula, beliau berkata, syarikat telah mendapat bekalan secukupnya untuk mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit tahun ini. - BERNAMA