KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik Am Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) kecewa dengan keputusan Kabinet untuk meluluskan rang undang-undang melarang rokok dan vape bagi mereka yang lahir selepas tahun 2005.

MSCSPGA dalam satu kenyataan semalam berkata, larangan itu akan memberi kesan langsung kepada ahli yang terdiri daripada lebih 20,000 pengusaha kedai kopi di seluruh negara kerana jualan produk itu menghasilkan pendapatan besar untuk perniagaan mereka.

Selain itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak memberikan butiran tentang cara melaksanakan pelan ini, tetapi berkemungkinan peruncit dijangka terpaksa menyemak MyKad pelanggan.

"Ini akan menjadi sangat sukar kerana pelanggan semuanya dewasa dan ramai orang akan ragu-ragu untuk menunjukkan kad pengenalan mereka bagi sebarang transaksi runcit.

"Perkara paling teruk ialah KKM tidak menggariskan sebarang cadangan untuk menangani perdagangan rokok seludup yang membentuk 60% daripada jualan rokok di pasaran.

"Masalah sebenarnya ialah rokok seludup yang menyebabkan ramai terus merokok," katanya.

Menurut kenyataan itu, cadangan itu akan memaksa pelanggan beralih kepada peniaga haram yang menjual produk seludup, sekali gus merangsang lagi aktiviti perdagangan haram.

"KKM perlu tampil dengan penguatkuasaan yang lebih baik untuk menghentikan perdagangan rokok seludup.

"Dengan menghentikan rokok seludup, ia akan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.

"MSCSPGA tidak menggalakkan merokok, tetapi sebagai pemilik perniagaan yang sah, kami tidak menyokong industri haram kerana ia membawa akibat negatif kepada negara dan rakyat," katanya. - DagangNews.com