KUALA LUMPUR: MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus berdasarkan keyakinan terhadap peningkatan ekonomi domestik yang rancak.

Pakar ekonomi, MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, ia juga mengambil kira prestasi perdagangan yang dilihat masih memberangsangkan.

“Kalau kita lihat prestasi enam bulan pertama tahun ini dari segi eksport dan import negara adalah lebih tinggi daripada apa yang dijangkakan sebelum ini.

“Contohnya, peningkatan eksport pada separuh tahun pertama ialah sebanyak 26.8 peratus dan ini disokong oleh permintaan barangan ataupun komponen elektronik yang juga merupakan eksport utama negara.” katanya.

Mui’zz berkata, peningkatan eksport juga disokong oleh permintaan yang lebih tinggi serta kenaikan harga komoditi khususnya bagi petroleum dan eksport minyak sawit.

Niaga AWANI: Prestasi Perdagangan Antarabangsa-Malaysia

Selain itu, import menunjukkan peningkatan yang tinggi dengan lonjakkan sebanyak 30.9 peratus berbanding tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

Negara masih mencatatkan hasil lebihan terutama dalam perdagangan barangan.

BACA: MIDF kekal unjuran 16.9 peratus, 19.2 peratus untuk eksport, import tahun ini

“Kita boleh menjangkakan kedudukan dagangan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini selain daripada menjangkakan sokongan daripada peningkatan perbelanjaan domestik berikutan pembukaan semula ekonomi,” katanya dalam temu bual menerusi program Niaga AWANI hari ini.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia, jumlah dagangan Malaysia meningkat 43.4 peratus pada Jun 2022 kepada jumlah tinggi baharu iaitu RM270.4 juta.