KUALA LUMPUR: Pestech International Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pestech Technology Sdn Bhd (PTech) meraih kontrak bernilai RM742.95 juta daripada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Ia menerima surat tawaran tersebut hari ini membabitkan kerja reka bentuk, bekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan bagi sistem Automated People Mover (APM) atau dikenali sebagai Aerotrain dan kerja berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di bawah Pilihan 2, termasuk pembiayaan (kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan-D&B) dan operasi dan penyelenggaraan (O&M) sehingga 11 Februari 2034. 

Katanya, projek tersebut membabitkan penggantian kenderaan baharu APM, bekalan tenaga, komunikasi dan sistem isyarat, stesen peralatan APM, kemudahan penyelenggaraan dan peralatan.

"Tarikh permulaan projek ini sepatutnya bermula 14 Mac 2022 bagi tempoh tahun membabitkan kerja-kerja D&B manakala perkhidmatan O&M bagi tempoh 10 tahun mulai 14 Mac 2025 hingga 11 Februari 2034," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Isnin.

Menurutnya, kerja-kerja pemulihan bagi infrastruktur APM sedia ada sepanjang 1.2 kilometer akan dilaksanakan perkhidmatan APM antara Bangunan Terminal Utama dan Terminal Satelit A akan diselenggara di bawah gangguan minimum semasa semua fasa projek.

APM akan menawarkan penambahbaikan dari segi penampilan dalaman, penggunaan tenaga, diagnostik dan lain-lain.

"Apabila kerja-kerja D&B selesai, Ptech akan meneruskan peranannya sebagai kontraktor perkhidmatan O&M untuk menjalankan operasi dan menyelenggara APM baharu selama 10 tahun," jelasnya.

Projek itu akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur transit yang dipertingkatkan kepada pengunjung KLIA dengan APM yang lebih selamat, selesa dan kebolehpercayaan lebih baik memberikan pengalaman yang lebih berkesan dan boleh dipercayai untuk semua pengembara.

Malah, APM baharu ini boleh menyumbang kepada pembangunan mampan KLIA pada masa hadapan ke arah sistem tanpa pemanduan yang efisien dan cekap.

Pestech berkata, projek tersebut akan membawa kepada momentum kumpulan yang progresif dalam mobiliti elektrik.

Katanya, kumpulan juga akan memupuk pengetahuan teknologi berkaitan sistem APM sepenuhnya, dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk memupuk bakat tempatan dalam industri mobiliti elektrik yang mampan.

"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan hasil Pestech selaras dengan tahap kemajuan projek bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 hingga 30 Jun 2034," katanya.


*Berita asal di DagangNews.com