KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merekodkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tahun kewangan 2022 tertinggi dalam sejarah penubuhannya.

Ia selepas syarikat minyak nasional itu merekodkan pendapatan sebanyak RM375.3 bilion, meningkat 51 peratus daripada RM248.0 bilion bagi tahun kewangan 2021.

PAT pula meningkat 100 peratus kepada RM101.6 bilion daripada RM50.9 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata peningkatan prestasi tersebut disumbang oleh kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

“Sementara tahun 2022 membolehkan kami memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

“Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

“Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisplin termasuklah pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat,” katanya dalam sidang media pengumuman Prestasi Kewangan Kumpulan Petronas di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata industri minyak dan gas berpotensi menyaksikan harga menyederhana pada 2023 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi, walaupun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

“Dalam persekitaran ini, Petronas akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil memenuhi sasaran pertumbuhan dan kemampanannya,” katanya.

Dalam tahun kewangan dikaji, Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) Petronas meningkat kepada RM135.3 bilion, manakala jumlah asetnya kukuh kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM24.4 bilion dan pendapatan RM105.9 bilion, disumbangkan terutamanya oleh kesan harga yang menggalakkan untuk semua produk dan jumlah jualan yang meningkat.