Petronas kurangkan sehingga 20,000 bpd minyak mentah tahun depan

Bernama
Disember 21, 2016 05:47 MYT
Mesyuarat itu bersetuju bahawa anggota bukan Opec akan mengurangkan 558,000 bpd selama enam bulan mulai 1 Jan 2017. - Gambar Fail
Petronas akan mengurangkan sehingga 20,000 tong sehari (bpd) minyak mentah daripada pengeluaran purata negara pada 2016 bermula Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak nasional itu berkata pelarasan secara sukarela ini mengambil kira keadaan dan prospek pasaran semasa.
Langkah ini juga merupakan hasil daripada persetujuan yang dicapai di Vienna, Austria, pada 10 Dis 2016 antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar bukan OPEC, katanya.
Mesyuarat itu bersetuju bahawa anggota bukan Opec akan mengurangkan 558,000 bpd selama enam bulan mulai 1 Jan 2017.
Sebelum ini, Petronas telah menyatakan komitmennya untuk menyelaraskan pengeluaran minyak mentah untuk mengurangkan bekalan global. - BERNAMA
#bpd #minyak mentah #OPEC #Petronas