KUALA LUMPUR: Petronas mengesahkan bahawa dua anak syarikatnya di Azerbaijan telah menerima notis ‘Saisie-arret’, susulan laporan media bahawa aset dua syarikat terbabit dirampas waris Kesultanan Sulu.

"Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk 'Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia'.

"Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022," katanya dalam satu kenyataan ringkas, malam ini.

Difahamkan, notis ‘Saisie-arret’ bermaksud notis penyitaan.

Kata kenyataan itu lagi, bagaimanapun kedua-dua anak syarikat Petronas terbabit telahpun melupuskan semua aset di Azerbaijan, sebelum ini.

"Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan berkenaan telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

"Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini," katanya.

Tuntutan Waris Sulu | Dua aset PETRONAS bernilai lebih RM8.8 bilion dirampas

BACA: Dua aset Petronas dirampas Waris Kesultanan Sulu - Laporan

BACA: Petronas jual kepentingan dalam projek gas asli Shah Deniz

Terdahulu Financial Times melaporkan, waris Kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada Malaysia telah merampas aset dua anak syarikat Petronas itu.

Laporan itu juga menyebut, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset syarikat petroleum itu yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.

Menurut laporan itu juga, nilai kedua-dua aset berkenaan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion).

Peguam yang mewakili waris kesultanan itu dilaporkan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat berkenaan bagi pihak pelanggan mereka.

Difahamkan juga, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.