KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton) terus mengorak langkah ke hadapan apabila melancarkan sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dijenamakan sebagai model X90.

Pelancaran rasmi kenderaan SUV ketiga keluaran syarikat kereta nasional itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Kemunculan X90 juga menjadikan ia model pertama  yang menggunakan teknologi hibrid sekali gus membawa jenama Proton untuk turut serta dalam Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Sebelum ini, Proton telah memperkenalkan model SUV jenis X50 dan X70 yang mencatatkan jumlah jualan agak tinggi berikutan sambutan yang memberangsangkan.

Proton X90 dipasang di Tanjung Malim, Perak lokasi sama bagi model X50 dan X70 keluaran syarikat itu sebelum ini.

Ia tampil dengan empat varian yang bermula dengan harga RM123,800 sehingga RM152,800.

Kerjasama Proton dan Geely  itu juga merupakan usaha dalam memastikan produk keluaran nasional turut setanding dengan pengeluaran negara luar terutamanya dari aspek kualiti.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar sebelum ini menyatakan, pelancaran X90 sepatutnya diperkenalkan tahun lalu namun situasi COVID-19 menyebabkan perkara itu tertangguh selain pandemik juga memberi impak kepada industri automatif.

Turut hadir pada majlis perasmian hari ini merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.