Pos Malaysia catat kerugian bersih S1 lebih rendah kepada RM30.37 juta

Bernama
Mei 26, 2022 03:00 MYT
Pos Malaysia mencatat kerugian bersih yang lebih rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 (S1 TK22) kepada RM30.37 juta daripada RM46.78 juta tahun lalu. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kurier nasional, Pos Malaysia Bhd mencatat kerugian bersih yang lebih rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 (S1 TK22) kepada RM30.37 juta daripada RM46.78 juta tahun lalu.
Hasil juga berkurangan sebanyak 18.6 peratus kepada RM484.35 juta daripada RM595.28 juta tahun lalu, disebabkan terutamanya kelembapan pesanan dalam talian berikutan pelonggaran sekatan pergerakan COVID-19 dan perubahan yang terhasil dalam tingkah laku pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata walaupun berdepan landskap operasi yang mencabar, prestasi S1 itu adalah bukti bahawa transformasinya mula memberikan hasil.
"Kami melihat banyak peluang untuk peningkatan. Walau bagaimanapun, kami juga mengambil berat tentang cabaran sedia ada yang berkaitan dengan pasaran yang berterusan dalam sumber, tekanan inflasi ke atas kos dan permintaan, dan kekurangan persaingan yang adil dalam penghantaran bungkusan ke pintu pelanggan, yang akan terus mewujudkan tekanan kepada hasil," katanya.
Brewer berkata kumpulan itu akan terus memacu pelan transformasinya, mengukuhkan teras dan membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk memberikan prestasi yang lebih baik pada tahun ini.
-- BERNAMA
#pos malaysia #Perkhidmatan Kurier #kelembapan pesanan dalam talian #Charles Brewer