KUALA LUMPUR: Pertumbuhan produktiviti Malaysia meningkat semula kepada 1.8 peratus atau RM90,697 seorang pada 2021 daripada -5.3 peratus atau RM89,106 seorang pada 2020, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata tahun 2021 menunjukkan kebangkitan yang luar biasa daripada impak kelembapan ekonomi yang dialami daripada kesan pandemik walaupun negara masih belum kembali kepada prestasi produktiviti sebelum pandemik melanda.

Pertumbuhan keseluruhan subsektor di bawah sembilan Nexus Sektor Produktiviti melantun kepada purata 3.3 peratus pada 2021 daripada -5.1 peratus pada 2020, katanya.

Lim berkata demikian ketika berucap pada majis pelancaran Laporan Produktiviti 2022 dan Laporan Produktiviti Subsektor bersempena Persidangan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertemakan "Memacu Produktiviti Negara" di sini hari ini.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa subsektor kimia dan produk kimia serta mesin dan peralatan mencatatkan peningkatan besar dalam pertumbuhan produktiviti, masing-masing 10.3 peratus dan 9.0 peratus.

"Ini adalah faktor pemacu untuk kita meningkatkan produktiviti negara, menyasarkan pertumbuhan pada purata 3.6 peratus setiap tahun, dari tahun 2021 hingga 2025 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"(Tahun) 2022 bermula dengan menjanjikan produktiviti yang lebih tinggi serta menggalakkan lebih ramai pelabur, peniaga dan perniagaan berpotensi untuk beroperasi di Malaysia. Justeru, kita berada di landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi," katanya.

Lim berkata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 6.1 peratus tahun ini berdasarkan kepada jangkaan jualan barangan elektrik dan peralatan kesihatan, meningkatkan eksport Malaysia dan permintaan domestik yang didorong oleh faedah yang diperoleh daripada sokongan kerajaan.

Beliau berkata unjuran itu sejajar dengan unjuran Kementerian Kewangan (MoF) bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022.

"Unjuran itu berdasarkan potensi peningkatan dalam perdagangan global, harga komoditi yang seimbang, aktiviti ekonomi yang lebih rancak serta bertambahnya sentimen pengguna dan perniagaan.

"Peralihan ke fasa endemik dan kelonggaran prosedur operasi standard COVID-19 meningkatkan lagi sentimen positif. Di samping itu, MPC optimis negara akan mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti 3.6 peratus tahun ini," ujar beliau.

Lim menambah untuk mencapai pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi, negara perlu menyasarkan empat pemacu produktiviti utama - iaitu bakat, teknologi, persekitaran perniagaan dan subsidi.

Mengenai program pembangunan bakat, beliau berkata MPC telah menangani cabaran dalam tenaga kerja dengan mengatasi isu kekurangan pekerja, prestasi pencapaian pendidikan dan pampasan pekerja.

"Program Sijil Perakuan Academy of Factory (AiF) dan e-Shared Prosperity Organisation (eSPO) merupakan inisiatif berterusan untuk memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia untuk mengharungi ekonomi semasa dan masa depan.

"Program AiF telah melatih dan menempatkan 200 bakat tempatan dalam industri terpilih. Sebaliknya, bagi eSPO, sebanyak 30,526 pertubuhan telah diiktiraf atas amalan yang berjaya dan penggunaan perkongsian keuntungan di kalangan pekerja dalam pertubuhan melalui inisiatif produktiviti," jelasnya.

Lim berkata keperluan untuk merealisasikan potensi ekonomi industri melalui transformasi digital adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Justeru, pelbagai inisiatif disediakan untuk memanfaatkan teknologi digital seperti tanda pengenalan MPC "Go BIG with Digital" yang menyokong keperluan untuk transformasi minda dalam kalangan pemimpin.

-- BERNAMA