KUALA LUMPUR: Terowong Kuantan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 2.8 kilometer telah berjaya ditembusi 2 bulan lebih awal daripada jadual dan menjadikannya terowong ECRL yang ke-12 melengkapkan proses pengorekan sehingga hari ini, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata Projek ECRL telah mencapai satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Kuantan yang merupakan terowong terpanjang antara 12 buah terowong yang telah berjaya ditembusi.

"Kejayaan penembusan 12 buah terowong ECRL sehingga hari ini membuktikan keupayaan pasukan projek dalam menangani cabaran dari segi kejuruteraan dan menerima pakai teknologi terowong yang lebih canggih. Tambahan 3 terowong ECRL yang sedang menjalani kerja-kerja pengorekan dijangka akan tembus pada hujung 2022.

"Tahap kemajuan yang baik bagi kerja-kerja pengorekan terowong, yang juga merupakan antara kerja paling mencabar bagi projek ECRL, akan memudahkan penyiapan infrastruktur rel dari Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak menjelang Disember 2026," katanya dalam satu kenyataan.

Letupan terakhir di Terowong Kuantan hari ini menembusi lapisan akhir kira-kira 1,700 meter dari portal masuk terowong. Terowong itu melintasi dua buah negeri di Pantai Timur dengan anggaran 976 meter bahagian terowong di Pahang dan 1,890 meter terletak di Terengganu.

Bagaimanapun, portal masuk terowong di Kg. Alor Batu Jabor dan portal keluar di Hutan Simpan Bukit Galing adalah di bawah daerah Kuantan, Pahang.

Pembinaan Terowong Kuantan membolehkan laluan kereta api ECRL memenuhi tahap maksimum kecerunan iaitu 0.9 peratus serta mengelakkan penebangan terbuka di Hutan Simpan Bukit Galing

-- BERNAMA