KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd menjual 9,415 unit kenderaan, domestik dan eksport pada April 2023, meningkat 6.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, walaupun bulan ini mencatatkan tempoh jualan dan pengeluaran yang lebih pendek akibat cuti Hari Raya Aidilfitri.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan semalam berkata, ia merupakan satu-satunya jenama lima teratas yang merekodkan kenaikan jualan pada April, sekali gus menjadikan angka jualannya bagi empat bulan pertama tahun ini kepada 49,702 unit atau pertumbuhan 39.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pegangan pasaran Proton untuk bulan berkenaan dianggarkan pada 20.4 peratus, mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual jualan automotif nasional.

Secara keseluruhannya, jualan pada April menyusut lebih 41.4 peratus selepas rekod tertinggi baharu yang dicatatkan pada Mac memandangkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 46,203 unit.

Penurunan ini bukan sahaja akibat tempoh cuti tetapi terkait dengan penamatan tempoh penyerahan untuk pesanan yang dibuat semasa skim insentif bebas cukai PENJANA.

"Disebabkan cuti Hari Raya yang menjejaskan aktiviti pengeluaran serta jualan bagi keseluruhan industri automotif selain penamatan penyerahan pesanan tempoh bebas cukai, kami meramalkan jumlah jualan yang leih rendah untuk April," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Proton berkata model X50 kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B paling laris dengan 2,644 unit diserahkan semasa April dan Persona mengekalkan kedudukan keseluruhan bagi pasaran sedan segmen B dengan 1,263 penghantaran.

Exora mempunyai bulan jualan terbaik tahun ini dengan 465 unit terjual, membantu model itu mengekalkan penguasaan jualan bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C dengan 1,559 unit terjual setakat ini manakala Proton Saga masih mendahului semua model dalam jualan dengan 3,949 unit dihantar, menjadikan jumlah jualan bagi 2023 sebanyak 21,395 unit dan meletakkannya di tempat kedua untuk jualan sedan segmen A.

Pengeluar kereta itu berkata jualan X70 dan Iriz bagi April masing-masing berjumlah 756 unit dan 338 unit.

Sementara itu, April merupakan bulan terbaik bagi jualan eksport dengan 187 unit dihantar ke pasaran luar negara, meningkatkan angka jualan eksport untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 603 unit.

"Jumlah eksport Proton bagi 2023 agak perlahan untuk mencapai jumlah yang diunjurkan disebabkan beberapa faktor ekonomi luaran global.

"Bagaimanapun, kami kekal positif mengenai prospek jualan luar negara kami tahun ini dan secara aktif bekerjasama dengan rakan kongsi kami bagi meningkatkan profil jenama termasuk dalam mempromosikan produk pintar kami," tambah Roslan.

-- BERNAMA