Tarikh 9 Julai 1985 pastinya menjadi detik yang amat bermakna buat Malaysia apabila ia mengeluarkan kereta sendiri menerusi kereta Proton Saga, sekali gus meletakkan nama negara di persada dunia.

35 tahun kemudian, Proton sekali lagi mencipta sejarah dengan melancarkan Proton Saga edisi Ulang Tahun secara dalam talian.

Terhad kepada 1,100 unit sahaja, Proton Saga edisi Ulang Tahun tersebut dijual pada harga RM39,300 selepas ditolak rebat cukai jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata model istimewa tersebut hadir dalam warna hitam eksklusif dan diberikan serlahan kuning pada bahagian bawah gril penutup cermin sisi dan juga jalur pada kemasan diffuser bampar belakang.

Serlahan kuning yang sama juga diberikan pada pelaras arah liang pendingin hawa bahagian tengah, kemasan sekeliling ruang storan konsol tengah dan juga gegelang pada dua meter utama dalam panel instrumen.

Edisi Ulang Tahun berkenaan juga dilengkapi dengan penuras udara kabin dengan standard N95 seperti yang dipadankan pada X70.

“Bagi memberikan lagi keistimewaan pada Saga edisi Ulang Tahun ini, Proton turut memberikan pilihan melalui Pakej Aksesori Ulang Tahun yang membolehkan anda menambah sentuhan anda yang tersendiri.

“Pakej tersebut merangkumi skirting depan, skirting tepi, visor pintu, pelapik penebat hud, pelapik penebat bonet belakang, tray bonet belakang.

“Apa yang lebih menarik lagi ialah kesemua aksesori ini boleh digunakan pada semua model Proton Saga versi 2019,” katanya pada pelancaran maya Proton Saga edisi Ulang Tahun pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata sejak 35 tahun yang lalu, Proton menjadi pemangkin pengindustrian kepada ekonomi negara dan memacu perkembangan keseluruhan ekosistem pembuatan automotif di negara ini.

“Pada hari ini, 35 tahun yang lalu, Proton Sage pertama dikeluarkan dari kilang kami di Shah Alam, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara yang berkemampuan untuk menghasilkan kereta buatan tempatan.

“Ia merupakan titik perubahan kepada pengindustrian negara kerana Proton Saga telah mencetuskan perkembangan ekosistem pengedar, pengeluar, pembekal, bengkel-bengkel persembahan kemahiran baharu bagi tenaga kerja.

“Proton Saga merupakan kereta yang berjaya menaikkan imej Malaysia dan menjadikan ekonomi negara terus berkembang pesat,” ujar Syed Faisal.

Tempahan bagi Proton Saga edisi Ulang Tahun itu boleh ditempah di pusat jualan Proton atau secara dalam talian mulai hari ini.