Proton Holdings Berhad (Proton) yakin jualan model terbarunya Proton Persona generasi kedua mampu mencapai sasaran jualan 3,000 hingga 4,000 unit sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali memaklumkan di sebalik kelemahan jualan kenderaan ketika ini, sejumlah 1,000 tempahan diterima bagi Persona sehingga kini.

Ahmad Fuaad menjelaskan keyakinan itu adalah berdasarkan ciri-ciri unik pada generasi kedua Persona ini.

GALERI FOTO: Proton Persona generasi kedua dilancar

 model baharu itu telah melalui pelbagai evolusi penambahbaikan, termasuk pengurangan getaran bunyi dan kekasaran yang memberikan pemanduan lebih menyeronokkan dalam kelasnya.
"Sasaran kami bagi Persona ialah antara 3,000 hingga 4,000 setiap bulan. Sebelum ini, Persona (generasi pertama) pernah mencapai sasaran tersebut.

"Antara ciri utama yang mendorong sasaran tersebut ialah keunikan segmen ini. Ia merupakan kereta segmen B tetapi mempunyai harga yang lebih murah daripada kereta segmen B buatan luar dan sedikit mahal daripada Proton Saga.

"Segmen pasaran ini, merupakan segmen yang terbesar di pasaran Malaysia. Segmen B mempunyai 50 peratus perkongsian pasaran," kata Ahmad Fuaad.

Bagaimanapun, beliau mengurangkan sasaran jualan tahunan Proton dari 120,000 kereta ke 100,000 kereta.


"Jika pelancaran berjalan seperti dijadualkan, kita mensasarkan 120,000 setiap tahun. Tetapi, dengan pelancaran yang terlambat tahun ini, kita menjangkakan penjualan 100,000 tahun ini," kata Fuaad.

Proton Persona generasi kedua dikuasakan dengan enjin 1.6 liter dan merupakan kereta Proton pertama yang disokong oleh indikator penanda pemanduan ‘eco’.

Indikator ini akan menyala apabila pemanduan mencapai 5.6 liter setiap 100 kilometer.

Fuaad berkata Proton komited dalam memastikan keselamatan pemandu dan penumpang menjadi keutamaan dengan ciri-ciri keselamatan yang tersendiri.

Ini termasuk kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan sistem kawalan tarikan, sistem brek anti kunci (ABS) dan enam beg udara.

Konsep pemanduan 'Eco' mampu menjimatkan petrol apabila indikator menyala semasa pemanduan mencapai 5.6 liter setiap 100 kilometer. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Tambahnya, Persona baharu ini melalui evolusi penambahbaikan yang terperinci dari segi ciri-ciri, teknologi terkini, reka bentuk serta pengurangan getaran bunyi dan kekasaran.

Harga Proton Persona bermula dari RM46,800 hingga RM59,800 bagi tiga varian, Standard, Eksekutif dan Premium.

Harga atas jalan untuk model standard transmisi manual adalah antara RM43,570 dan RM46,800 (Semenanjung Malaysia) manakala RM48,350 dan RM48,800 (Sabah dan Sarawak).

Bagi transmisi automatik pula daripada RM46,350 hingga RM49,800 bagi Semenanjung Malaysia manakala RM51,350 hingga RM51,800 (Sabah dan Sarawak).

Untuk model eksekutif pula antara RM52,000 dan RM55,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM57,350 hingga RM57,800 (Sabah dan Sarawak) manakala model premium daripada RM55,680 hingga RM59,800 (Semenanjung Malaysia) dan RM61,350 hingga RM61,800 (Sabah dan Sarawak).