Proton Tg Malim perintis kilang automotif induk negara laksana industri 4.0

Bernama
Julai 13, 2017 12:09 MYT
Kilang berkenaan dipilih sebagai kilang automotif induk sekali gus Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan kaedah pengilangan Industri 4.0. - Gambar hiasan
Kilang pembuat kereta nasional, Proton Holdings Sdn Bhd yang terletak di Proton City, Tanjung Malim, Perak akan menjadi perintis kilang automotif induk di Malaysia yang melaksanakan kaedah pengilangan berteknologi baharu berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kilang berkenaan dipilih sebagai kilang automotif induk sekali gus Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan kaedah pengilangan Industri 4.0.
Beliau berkata, pelaksanaan kaedah itu adalah selaras kerjasama Proton dengan Geely Holding Group Co Ltd dari China bagi membangunkan model kenderaan menggunakan teknologi baharu.
"Namun begitu, kita tidak boleh mewujudkan kilang berkenaan semata-mata dan memerlukan sebuah kilang automotif induk. Oleh itu, kita telah mengenal pasti kilang di Tanjung Malim untuk dijadikan sebagai kilang industri automotif induk pertama menggunakan kaedah Industri 4.0," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan Sesi Jaringan Perniagaan anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Wilayah Perak di sini, hari ini.
Selain itu, Ong berkata, Perak mempunyai sejumlah kilang elektronik namun kebanyakannya bukan berteknologi tinggi dan ia tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, industri elektronik adalah bidang penting berikutan sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan barangan pembuatan eksport di negara ini adalah elektronik.
"Kita mahu lebih banyak kilang elektronik berteknologi tinggi diwujudkan di setiap negeri kerana ia mendatangkan keuntungan besar sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi pendapatan lebih tinggi kepada masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata, dengan kemudahan dan pembangunan Industri 4.0, ia mampu mewujudkan beberapa lagi kilang baharu di daerah tersebut untuk memberi bekalan kepada kilang automotif induk tersebut.
-- BERNAMA
#automotif #kereta #Ong Ka Chuan #Proton #Revolusi Perindustrian Keempat #Tanjung Malim