KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengisytiharkan agihan berjumlah lebih RM184 juta bagi sembilan dana.

Jumlah agihan kasar yang diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Nov, 2022, itu adalah daripada 0.20 sen seunit bagi Public Islamic Sector Select Fund hingga 2.40 sen seunit bagi Public e-Enhanced Money Market Fund-Class A.

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia yang menguruskan lebih daripada 170 dana dan mempunyai sejumlah 31 cawangan merangkap pusat perkhidmatan pelanggan di seluruh negara.

Tahun ini, syarikat itu sekali lagi muncul sebagai pemenang terbesar pada anugerah Refinitiv Lipper Fund Awards, menerima dua Anugerah Kumpulan dan 30 Anugerah Dana individu serta mendapat pengiktirafan global dengan memenangi 13 anugerah daripada Refinitiv Lipper Fund Awards 2022-Global Islamic.

Public Mutual juga merupakan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim tersebut. - BERNAMA