KUALA LUMPUR: RAM Ratings telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun Malaysia untuk 2021 kepada 6.8 peratus daripada 5.8 peratus berikutan pemulihan yang kukuh serta mengekalkan unjuran 4.5 peratus kepada 5.5 peratus bagi 2023.

Dalam laporan Kemas Kini Ekonomi 2022 yang dikeluarkan semalam, agensi penarafan itu menjangkakan pemulihan kukuh yang dicatatkan oleh ekonomi Malaysia pada separuh pertama 2022 (6.9 peratus tahun ke tahun) untuk membuka prospek pertumbuhan setahun penuh mengatasi jangkaannya sebelum ini dan berkembang antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dijangka oleh Bank Negara Malaysia.

"Prestasi ekonomi separuh pertama dirangsang oleh permintaan domestik yang kukuh (8.6 peratus tahun ke tahun) ketika negara memulakan peralihannya ke fasa endemik.

"Kenaikan semula penggunaan juga disebabkan oleh pemulihan yang stabil dalam pasaran buruh, ia menyaksikan kadar pengangguran turun kepada 3.8 peratus pada bulan Jun," katanya.

Satu lagi penyumbang utama, eksport, meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun daripada segi volum pada separuh pertama walaupun gangguan rantaian bekalan global berpanjangan, kata RAM.

Output keseluruhan negara pada 2022 akan berada pada empat peratus lebih tinggi mengikut anggaran RAM berbanding paras dicatatkan pada 2019, jurang keluaran negatif menunjukkan masih terdapat kapasiti untuk memacu pertumbuhan tahun depan.

"Kami akan terus berhati-hati dengan cabaran akan datang, ia mungkin akan meningkat pada bulan-bulan akan datang sehingga tahun 2023 apabila inflasi global kekal tinggi dan bank pusat global kekal fokus untuk mencapai kestabilan harga melalui kenaikan kadar faedah yang agresif.

"Perkembangan ini bersama-sama dengan kelembapan ekonomi China yang berpanjangan, dijangka melembapkan permintaan global dan prospek ekonomi," katanya.

Di peringkat tempatan, jangkaan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan lagi pada bulan September dan inflasi makanan yang tinggi boleh menjejaskan penggunaan domestik, katanya.

-- BERNAMA