KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal baik pada 2023 walaupun unjuran pertumbuhan yang perlahan sebanyak 4.3 peratus berbanding unjuran pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus pada 2022.

Pada webinar RAM Insight Series semalam bertajuk "Economic Outlook 2023-Choppy Waters Ahead?", Ahli Ekonomi Kanan dan Ketua Penyelidikan Ekonomi Woon Khai Jhek berkata pertumbuhan yang perlahan itu disebabkan kesan meluas daripada pertumbuhan global yang perlahan, terutamanya permintaan terhadap elektronik pengguna yang lembap yang akan memberi impak kepada sektor semikonduktor.

"Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa sebaliknya, ekonomi domestik yang luas dan pelbagai sebenarnya menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang berterusan.

"Justeru, penggunaan swasta akan terus menjadi teras utama dari segi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan akan terdapat pemulihan yang seterusnya apabila pasaran tenaga kerja mula meningkat," katanya.

Beliau berkata kadar pengangguran dijangka terus menurun kepada kadar purata sebanyak 3.5 peratus pada 2023 berbanding 3.8 peratus yang diunjurkan pada tahun ini.

"Terdapat juga aspek positif daripada pemulihan beberapa sektor yang ketinggalan seperti yang dinyatakan sebelum ini, seperti sektor pertanian dan pembinaan, apabila beberapa isu yang dihadapi oleh sektor tersebut seperti kekurangan buruh sebenarnya diselesaikan secara berperingkat.

"Dan juga (mungkin) sektor yang ketinggalan seperti sektor berkaitan pelancongan, apabila ketibaan pelancong meningkat semula, akan ada aspek positif untuk pemulihan dan sumbangan daripada semua sektor ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya risiko prospek pertumbuhan secara keseluruhannya kekal cenderung kepada situasi yang kurang menggalakkan berikutan ketegangan geopolitik.

Beliau berkata ketegangan geopolitik yang meningkat atau sebarang senario stagflasi atau kemelesetan boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan.

"Di peringkat domestik, beberapa risiko utama yang kami lihat ialah kenaikan mendadak harga makanan yang boleh memberi impak kepada sentimen pengguna serta momentum penggunaan swasta dan kekurangan tenaga kerja yang berpanjangan," katanya.

-- BERNAMA