KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Berhad meramalkan pasaran bagi sektor pembinaan menjadi semakin tidak stabil terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 dijangka berlaku seawal 2H22.

Bagaimanapun, firma itu berkata, keadaan dijangka menjadi seperti biasa selepas berakhir tempoh pilihan raya.

"Sekiranya kerajaan berikutnya mengekalkan polisi sedia ada, syarikat dalam sektor itu boleh meneruskan projek masa hadapan seperti biasa.

"Senario negatif mungkin berlaku sekiranya parlimen tergantung tanpa sebarang keputusan kerana ia akan mencetuskan ketidakpastian untuk projek sektor awam yang akan diteruskan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, ruang utama fiskal kerjaaan yang terhad dicerminkan dalam hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 62.4% pada April 2022.

Mereka juga tidak menolak kemungkinan bahawa projek infrastruktur awam masa hadapan mungkin memerlukan lebih banyak penyertaan sektor swasta yang dilihat memberi manfaat kepada kontraktor yang memiliki kunci kira-kira yang stabil.

"Bagaimanapun, terdapat risiko penyertaan sektor swasta yang rendah sekiranya dana yang disediakan dihadkan sekiranya mereka menerima lebih banyak projek," katanya.

Firma itu berkata, pendapatan bagi segmen pembinaan untuk sesetengah syarikat tidak menunjukkan oeningkatan pada 1QFY22 akibat tekanan daripada kenaikan bahan mentah.

Harga keluli mencatatkan kenaikan sebanyak 16% manakala harga simen meningkat sebanyak 40% pada separuh pertama 2022.

"Kami percaya syarikat seperti Kerjaya Prospek dan MGB  memiliki potensi yang baik kerana disokong oleh pertambahan tempahan kerja serta kunci kira-kira yang stabil.

"Selepas mengambil kira kenaikan harga bahan mentah dan isu kekurangan tenaga kerja yang terus memberi tekanan kepada sektor pembinaan, kami mengekalkan saranan 'neutral'," katanya. - DagangNews.com