KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri peningkatannya selama empat hari berturut-turutnya dengan ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS susulan aktiviti pengambilan untung sederhana selepas kenaikan baru-baru ini, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.4250/4305 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4160/4200 pada Khamis.

Ahli Ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari menunjukkan kadar inflasi Malaysia kekal bertahan pada 3.7 peratus bagi dua bulan berturut-turut.

"Begitu juga, IHP teras turut kekal pada paras 3.9 peratus selama dua bulan berturut-turut.

"Kami percaya kadar inflasi masih tinggi dengan purata inflasi sejak 2006 berada pada 2.2 peratus," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7476/7535 daripada paras penutup 4.8055/8098 pada Khamis dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4034/4101 daripada 5.4379/4428.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.4099/4144 daripada 3.3679/3712.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 291.90/292.50 daripada 287.70/288.10, turun berbanding baht Thai kepada 12.9610/9835 daripada 12.9562/9741 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.15/8.16 daripada 8.13/8.14.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3178/3225 daripada 3.3278/3313 sebelumnya.

-- BERNAMA