Selepas berjaya melalui tempoh ketidaktentuan dalam kewangan, jangkaan ringgit boleh mencecah 4.1 berbanding dolar AS pada separuh kedua tahun ini adalah suatu yang realistik, kata Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata persepsi pasaran ternyata bertambah baik susulan pelbagai langkah diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menstabilkan ringgit dan penjualan asing dalam bon ringgit.

"Kembalinya pelabur asing, walaupun sebahagian besarnya dana lindung nilai, dan ringgit mengukuh baru-baru ini menunjukkan kita berjaya melalui tempoh ketidaktentuan dalam kewangan.

"Ekonomi yang kukuh, eksport meningkat dan harga komoditi yang teguh turut dijangka memberi rangsangan kepada the ringgit. Oleh itu, jangkaan ringgit mencecah 4.1 berbanding dolar adalah suatu yang realistik," katanya kepada Bernama hari ini.

Malah, lebihan akaun semasa yang meningkat dengan peningkatan rizab asing yang kukuh dapat membantu merealisasikan sasaran ini dengan lebih cepat, katanya.

"Ini terutamanya jika dasar rangsangan yang dijanjikan Trump (Presiden AS Donald Trump) tidak diterima dengan baik dan Rizab Persekutuan membayangkan kenaikan kadar faedah itu dibuat secara beransur-ansur," jelasnya.

Laporan berita baru-baru ini memetik ahli jawatankuasa pasaran kewangan BNM sebagai berkata unit tempatan boleh meningkat 4.0 peratus susulan langkah-langkah terkini oleh bank pusat membantu mengurangkan risiko pegangan mata wang dan meningkatkan ekonomi.

Menjangka ringgit boleh mencecah paras 4.1 pada separuh kedua tahun yang akan datang, Yeah berkata nilai saksamanya perlu berada antara 3.8 dan 4.0, apabila ditanda aras berbanding mata wang serantau dan komoditi.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata prestasi ringgit yang positif baru-baru ini disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah pengenalan langkah-langkah oleh BNM khusus untuk meningkatkan mudah tunai dalam pasaran bon, selain membenarkan fleksibiliti lindung nilai dalam negara yang lebih baik.

"Faktor lain termasuk asas-asas ekonomi yang meningkat, sentimen yang positif, harga komoditi yang stabil, selain dolar AS yang rendah dilihat dalam beberapa minggu ini. Dengan eksport dijangka terus meningkat, ringgit dijangka terus mengukuh daripada paras semasa," katanya.

Bagaimanapun, MIDF mengekalkan sasaran akhir tahun bagi ringgit berbanding dolar AS pada paras 4.2.

-- BERNAMA