KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila mencecah RM4.40 berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.4030/4060 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3975 ketika ditutup pada Rabu.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun dolar AS tidak mengalami begitu banyak permintaan disebabkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global, namun sentimen ke atas mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit, kekal lemah sekali gus mengakibatkan penjualan secara meluas.

"Pergerakan seterusnya akan bergantung kepada pembukaan semula ekonomi di China.

"Sekiranya China dibuka semula, ringgit dijangka mengukuh memandangkan saluran eksport juga akan dibuka dan mungkin lebihan perdagangan yang mengecil setelah susut lebih rendah berbanding konsensus (unjuran) menjadi sebaliknya," katanya kepada Bernama.

Ringgit mencecah paras terendah pada 23 Mac, 2020 apabila mencapai RM4.447.

Beliau berkata walaupun hasil AS menurun, namun pasaran masih menjangkakan kadar faedah meningkat 50 mata asas pada mesyuarat Rizab Persekutuan AS akan datang.

"Justeru, saya berpandangan dolar AS tidak mengalami penjualan yang terlalu ketara daripada paras sekarang," katanya.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1752/1778 daripada 3.1713/1728 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding pound British kepada 5.4584/4621 daripada 5.4554/4573.

Ringgit lemah berbanding yen kepada 3.4495/4524 daripada 3.4041/4055 semalam namun meningkat berbanding euro kepada 4.6223/6254 daripada 4.6268/6284.

-- BERNAMA