Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar US

Bernama
Julai 20, 2018 02:15 MYT
Ringgit bagaimanapun rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka mengukuh sedikit berbanding dolar US hari ini selepas Presiden Donald Trump menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
Pada 9 pagi, ringgit disebut pada paras 4.0600/0650 berbanding dolar US daripada 4.0620/0650 sewaktu ditutup pada Khamis.
Seorang peniaga berkata, kenyataan Trump itu menyebabkan dolar US susut daripada kenaikan sebelum ini dan menyebabkannya lemah berbanding mata wang lain termasuk ringgit.
"Selain itu, ringgit turut disokong oleh faktor harga minyak mentah yang lebih kukuh," katanya.
Pada 9.20 pagi, harga penanda aras global, minyak mentah Brent meningkat kepada US$73 setong selepas laporan media menyatakan Arab Saudi dijangka mengurangkan eksport minyak mentahnya pada bulan depan.
Sementara itu, ringgit bagaimanapun rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9642/9687 berbanding 2.9622/9648, turun berbanding yen kepada 3.6070/6124 daripada 3.5937/5970 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.2853/2922 daripada 5.2806/2849 pada Khamis.
Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.7311/7378 daripada 4.7144/7187.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #dolar #Donald Trump #harga minyak #kadar faedah #minyak mentah #ringgit #rizab persekutuan