KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis dalam keadaan kebimbangan terhadap angka kes COVID-19 harian di negara ini yang mencecah paras tertinggi semalam dengan 19,819 kes.

Pada 9.07 pagi, unit tempatan susut kepada 4.2240/2270 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2230 ketika ditutup pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata jumlah dos vaksinasi yang diberikan setiap hari juga berkurangan kepada paras di bawah 500,000 dos baru-baru ini.

"Kelemahan ringgit juga serentak dengan pertambahan bekalan stok minyak mentah AS sebanyak 3.6 juta tong pada minggu ini sehingga 30 Julai kepada 439.2 juta tong, menurut Laporan Status Petroleum Mingguan yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.

"Sebaliknya, penganalisis yang diikuti rapat oleh Investing.com pula menjangkakan penurunan sebanyak 3.1 juta tong," katanya kepada Bernama.

Adam berkata kenaikan bekalan stok minyak mentah mingguan itu menunjukkan permintaan tenaga mungkin perlahan disebabkan jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia meningkat kembali susulan kemunculan varian Delta.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.9987/5.0022 daripada 5.0017/0076 ketika ditutup pada Rabu dan tinggi berbanding dengan pound Britain kepada 5.8659/8700 daripada 5.8778/8848.

Ringgit juga meningkat berbanding dengan yen kepada 3.8526/8553 daripada 3.8633/8679 serta stabil berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1252/1276 daripada 3.1265/1305.

-- BERNAMA