KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan unit negara maju itu terus mengukuh ekoran terdapat sentimen menolak risiko yang menyaksikan saham-saham AS telah dijual semalaman, menurut seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3930/3995 berbanding dolar AS daripada 4.3930/3990 sewaktu ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pengukuhan dolar AS berbanding ringgit turut disumbangkan oleh data inflasi dari Filipina yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu 6.5 peratus berbanding ramalan 6.0 peratus, mencetuskan keraguan ke atas senario makroekonomi di Asia Tenggara secara keseluruhannya.

"Satu lagi elemen penting yang menyebabkan dolar AS menokok adalah apabila pelabur mula tertanya-tanya bilakah Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengubah dasar monetarinya ke atas kadar faedah.

"Mesyuarat Fed yang akan datang ialah pada 14 Dis, dan pasaran telah mula bergerak berikutan pelabur cuba meramalkan langkah bank pusat AS yang seterusnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dolar AS diniagakan melebihi paras tertinggi berbanding ringgit semalam.

"Kami menjangkakan dolar AS akan meningkat kepada 4.5100 berbanding ringgit dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan ia sewajarnya mencari sedikit paras rintangan," katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama pagi ini.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3283/3362 daripada 5.3498/3571 sewaktu ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5942/6010 daripada 4.6096/6159 semalam.

Malah, ia turut naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2311/2364 daripada 3.2363/2412 pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2031/2083 daripada 3.2120/2166 semalam.

-- BERNAMA