KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan permintaan baharu untuk mata wang tempatan menjelang pengeluaran laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 29 Mac dan data keyakinan pengguna AS lewat hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, nilai mata wang tempatan melantun kepada 4.3850/3900 berbanding dolar AS daripada kadar penutup urus niaga Isnin pada 4.4190/4240.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran sedang menantikan pandangan BNM mengenai krisis perbankan yang melanda Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat, serta pemberi pinjaman global Credit Suisse dan Deutsche Bank.

"Pelabur agak bimbang sama ada Malaysia terjejas akibat krisis itu dan apakah status bank tempatan kita ekoran impak (perbankan) global berkenaan," katanya kepada Bernama.

"Selain itu, sokongan daripada pihak berkuasa dan pengambilalihan bank bermasalah oleh institusi kewangan lain menunjukkan bahawa masalah semasa terkawal.

"Justeru, sentimen pasaran dijangka kekal terkawal," katanya sambil menambah mata wang tempatan boleh kekal dalam julat kecil antara RM4.42 hingga RM4.43 hari ini.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS susut sebanyak 0.16 peratus berbanding ringgit semalam disebabkan kekurangan hala tuju kerana pelabur masih dalam mod tunggu dan lihat menjelang pengeluaran data keyakinan pengguna AS.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.7428/7482 daripada 4.7579/7633 pada penutup Isnin, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3979/4041 daripada 5.4159/4221 dan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3522/3565 daripada 3.3612/3653 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 289.1/289.6 daripada 291.30/291.90 pada Isnin dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2992/3035 daripada 3.3151/3191.

Mata wang tempatan juga lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.7619/7828 daripada 12.8236/8440 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.07/8.09 daripada 8.14/8.15 sebelumnya.

-- BERNAMA