KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka lebih tinggi pada minggu depan dengan diniagakan di antara 4.59 dengan 4.62 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen pasaran yang lebih baik, menurut penganalisis.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketidakstabilan tukaran mata wang asing kekal pada paras tinggi selama bertahun-tahun pada suku ketiga dan dijangka meningkat lagi.

Beliau berkata ini berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh bank-bank pusat di seluruh dunia dalam usaha untuk mengekalkan paras inflasi semasa yang tinggi daripada melanda ekonomi mereka.

"Bagaimanapun, turun naik ringgit lebih rendah berbanding mata wang lain di rantau ini. Bagi ketidakstabilan mata wang, ringgit berada pada 6.7 peratus, dolar Singapura (7.2 peratus), rupiah Indonesia (10.1 peratus) dan baht Thai (10.3 peratus)," katanya kepada Bernama.

Menurutnya turun naik mata wang yang tidak kerap berlaku akan memanfaatkan perniagaan dan turut berupaya menarik perniagaan asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

Mohd Sedek berkata Bajet 2023 juga dijadual dibentangkan pada 7 Oktober dan mengikut data, ringgit berkecenderungan untuk ditutup lebih rendah ketika minggu bajet.

"Bagaimanapun, kami yakin buat masa ini, pengukuhan dolar AS telah mencapai paras tertinggi dan ringgit berbanding dolar AS dijangka mengukuh dan diniagakan di antara 4.60 dengan 4.64.

"Kelemahan pound Britain dilihat mencapai puncaknya pada masa ini. Momentum kenaikan yang semakin baik dengan cepat menunjukkan pound akan terus meningkat dan ringgit dijangka diniagakan di antara 5.19 dengan 5.23 berbanding pound pada minggu depan," katanya.

Bagi minggu baru berakhir, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS berikutan sentimen lemah yang diheret turun oleh situasi tidak menentu seperti kebimbangan mengenai kemelesetan global dan krisis tenaga di Eropah.

Pada Jumaat, ringgit merosot berbanding unit negara maju kepada 4.6360/6390 berbanding 4.5775/5800 pada minggu sebelumnya.

Berasaskan Jumaat hingga Jumaat, unit tempatan turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2343/2368 daripada 3.2130/2152 sebelum ini dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2103/2126 daripada 3.2091/2113.

Ringgit turut lemah berbanding pound Britain kepada 5.1728/1762 berbanding 5.0957/0985 pada minggu lepas dan turun berbanding euro kepada 4.5428/5458 daripada 4.4686/4710 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA