KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus melemah pada minggu hadapan berbanding dolar AS pada jajaran 4.50 hingga 4.60 susulan kekurangan pemangkin dan menjelang pengumuman keputusan bank pusat Amerika Syarikat (AS) mengenai kadar faedah, menurut seorang penganalisis.

Selain kebimbangan inflasi yang semakin meningkat termasuk dalam ekonomi pasaran yang sedang pesat membangun (EM), pelabur menangguhkan minat belian mereka terhadap aset EM dan akan kekal fokus kepada aset selamat seperti dolar AS, katanya.

Jangkaan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu hadapan turut memberi kesan kepada ringgit.

"Ringgit memerlukan rangsangan baharu untuk menarik minat belian daripada pelabur tetapi sekarang, kami berpendapat pelabur mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap ringgit sehingga pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Okt ini.

"(Bagaimanapun,) ekonomi Malaysia masih berjalan dengan baik, memandangkan asas yang kukuh termasuk tahap hutang masih boleh diurus," katanya kepada Bernama.

Sepanjang minggu ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam hantaran di media sosialnya berkata Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi hanya kerana ringgit diniagakan pada paras rendah berbanding dolar AS.

Beliau menjelaskan prestasi ringgit perlu dilihat secara holistik, bukan hanya sekadar perbandingan dengan dolar US, memandangkan mata wang tempatan telah mengukuh berbanding mata wang lain.

Tengku Zafrul juga menegaskan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan bahawa Malaysia mempunyai masalah ekonomi yang akan menyebabkan negara bankrap, sebaliknya yakin dengan prospek pertumbuhan negara.

Sementara itu, ringgit mencecah paras terendah baharu pada Khamis lepas, diniagakan pada 4.5340/5365 berbanding dolar AS sejak Krisis Kewangan Asia daripada 4.4965/4990 semasa penutupan Jumaat sebelumnya.

Bagi minggu dagangan yang singkat, mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.2214/2242 daripada 5.2249/2278 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5317/5342 daripada 4.5361/5386.

Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1647/1666 daripada 3.1670/1690 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2238/2261 daripada 3.2189/2209 yang dicatatkan semasa minggu sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Jumaat untuk sambutan Hari Malaysia.

-- BERNAMA