KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh ke paras RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun dalam persekitaran asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Dr Anthony Dass berkata data ekonomi menunjukkan bahawa menjelang separuh kedua tahun ini sentimen perniagaan dan sektor pembuatan Malaysia kekal positif dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam prospek perniagaan.

"Data ekonomi juga menunjukkan bahawa keyakinan isi rumah bertambah baik dengan peningkatan dalam pinjaman isi rumah serta peningkatan perbelanjaan kad kredit serta kad debit.

"Pasaran juga melihat minat asing yang positif ke dalam pasaran ekuiti tempatan dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat. Ia boleh menyokong ringgit pada masa hadapan," katanya semasa sesi webinar mengenai prospek pasaran Malaysia untuk separuh kedua 2022, pada Jumaat.

Dass berkata minyak mentah Brent didagangkan pada harga purata AS$104 setong tahun ini dan harga minyak sawit mentah yang secara konservatif secara purata sekitar RM5,500 satu tan metrik juga akan menjadi faktor positif untuk menyokong ringgit.

Melangkah ke hadapan, beliau berpendapat bahawa ringgit akan terus dipengaruhi oleh pergerakan dolar AS serta bagaimana mata wang China, renminbi akan bertindak balas terhadap dolar AS.

"Pengukuhan dolar berikutan pelonggaran monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat serta kelemahan renminbi telah menjejaskan ringgit kerana China adalah rakan dagangan utama Malaysia," katanya.

Dass turut berkongsi bahawa Bank Negara Malaysia mempunyai penampan yang mencukupi untuk menyokong ringgit dan menggunakan hanya kira-kira AS$8.6 bilion untuk menstabilkan ringgit.

"Semasa waktu kemuncak pada tahun 2018 hingga 2019, ia menggunakan kira-kira AS$24 bilion, justeru BNM berupaya menstabilkan ringgit," katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan menjejaskan ringgit, beliau berpendapat ringgit boleh mengalami sedikit turun naik dalam tempoh jangka pendek, sekiranya tiada penjelasan mengenai tarikh pilihan raya tersebut.

"Sehubungan itu, bagi separuh kedua, saya masih menjangkakan ringgit akan mengukuh kerana asas ekonomi akan terus berkembang. Perniagaan di Malaysia sekarang tidak mahu masuk campur dengan politik.

"Data ekonomi positif menunjukkan bahawa politik dan peluang untuk menjalankan perniagaan diasingkan," katanya.

Dass berkata Ambank mengunjurkan dua lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, pada bulan Julai dan September.

Beliau berkata kenaikan OPR akan memberi sedikit penampan kepada kejatuhan nilai ringgit dan pada masa yang sama penampan kepada BNM untuk menstabilkan rizab asing.

Bagaimanapun, ia mungkin menjejaskan kos dana bagi mereka yang mengambil pinjaman pada kadar terapung.

-- BERNAMA