KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh tetapi bergerak dalam jarak yang ketat antara 4.1700 dan 4.1800 berbanding dolar AS pada minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan harga komoditi akan membantu menyokong ringgit memandangkan ekonomi negara akan mendapat keuntungan daripada harga minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, situasi di China yang berkaitan dengan isu pasaran hartanahnya termasuk perkembangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China dalam kaitannya dengan Taiwan cenderung memberi tekanan ke atas pasaran mata wang baru muncul," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau berpendapat pelabur biasanya akan mencari perlindungan dalam mata wang komoditi selamat.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan ringgit mungkin mengumpulkan beberapa momentum dan kenaikan berbanding dolar AS dalam waktu terdekat berdasarkan keyakinan pada pembukaan semula ekonomi Malaysia, walaupun siling hutang AS mampu mencetuskan beberapa permintaan untuk komoditi selamat.

"Selanjutnya, mulai November dan seterusnya, arah ringgit akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman Rizab Persekutuan, ketidaktentuan ekonomi China, hubungan perdagangan AS-China dan situasi COVID-19 global," katanya.

Sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS disebabkan peningkatan sentimen ke atas mata wang tempatan dan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS pada Jumaat.

Secara mingguan, ringgit naik 20 mata asas (bps) kepada 4.1750/1800 berbanding dolar US semalam, daripada 4.1770/1810 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8292/8350 daripada 4.8361/8408 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7320/7368 daripada 3.7580/7616.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0771/0810 daripada 3.0756/ 0788 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6880/6948 daripada 5.6373/6427.

-- BERNAMA