KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meningkat sambil bergerak dalam jajaran kecil pada sekitar 4.40 berbanding dolar AS minggu depan berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata maklumat data utama dari Amerika Syarikat (AS) akan menjadi teras inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) pada Mei serta indeks harga rumah, Indeks SP Case Shiller yang dijangka kekal meningkat. 

"Konteks itu akan berterusan di sekitar peningkatan tekanan inflasi yang memerlukan Rizab Persekutuan AS untuk kekal dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah dalam pendirian monetarinya.

"Data Indeks Harga Pengguna Malaysia terkini yang menokok kepada 2.8 peratus pada Mei 2022 berbanding 2.3 peratus pada Mei 2021 menunjukkan Bank Negara Malaysia mungkin cenderung untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk merapatkan jurang kadar inflasi," katanya kepada Bernama.

Katanya OPR yang berkemungkinan meningkat akan memberi sedikit dorongan kepada ringgit walaupun kebimbangan mengenai kemelesetan AS yang turut bertambah.

"Sehubungan itu, sentimen pasaran akan terus berhati-hati, menyebabkan ringgit dalam julat yang kecil berbanding dolar AS," katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS berikutan unjuran lemah terhadap ekonomi global yang mendorong lebih ramai pelabur untuk beralih kepada mata wang negara pesat membangun.

Berasaskan mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.4010/4045 pada Jumaat berbanding 4.4000/4040 pada minggu lepas.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama berasaskan Jumaat hingga Jumaat.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1710/1740 daripada 3.1753/1786 pada minggu lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2590/2621 daripada 3.2655/2688 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4128/4171 daripada 5.4208/4257 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia susut berbanding euro kepada 4.6444/6481 daripada 4.6314/6357 minggu lepas.

-- BERNAMA