KUALA LUMPUR: Ringgit menutup urus niaga September dengan mencatat peningkatan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, sekali gus pulih daripada aliran penyusutan di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik 20 mata asas kepada 4.6360/6390 daripada dolar AS berbanding paras 4.6380/6425 pada akhir urus niaga semalam.

Menurut penganalisis, sokongan belian ringgit itu berdasarkan jangkaan bahawa defisit fiskal negara akan ditangani dalam pembentangan Bajet 2023 minggu depan dengan kerajaan diunjur menyasarkan defisit fiskal 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan berbanding 5.5 peratus pada tahun ini.

"Harga minyak mentah penanda aras global yang kukuh pada US$89.23 setong atau kenaikan sebanyak 0.84 peratus, turut menyokong prestasi ringgit yang lebih baik pada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.1728/1762 daripada 5.0392/0441 semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2343/2368 daripada 3.2228/2264.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.2103/2126 daripada 3.2050/2084 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.5428/5458 daripada 4.4951/4995.

-- BERNAMA