KUALA LUMPUR: Ringgit merosot daripada peningkatan semalam untuk ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS berikutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, walaupun harga minyak meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.3755/3780 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3640/3685 pada Isnin.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley berkata dolar AS memperoleh kekuatan dan mengalami kenaikan jangka pendek yang sederhana selepas hasil Perbendaharaan AS meningkat lebih tinggi.

"Dolar AS juga meningkat berbanding mata wang Asia hari ini selepas pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan mengenai pelaksanaan larangan import minyak Rusia.

"Pada peringkat ini, ia kelihatan mengalami pembetulan dan kami perlu menunggu sehingga sesi dagangan AS seterusnya untuk mendapat lebih banyak petunjuk," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1929/1949 daripada paras penutup 3.1940/1976 pada Isnin dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.4202/4222 daripada 3.4289/4327 sebelumnya.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5144/5176 daripada 5.5192/5248 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.6923/6950 daripada 4.6978/7027 sebelumnya.

-- BERNAMA