KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, seiring dengan prestasi mata wang serantau berikutan dolar AS terus mengukuh, disokong oleh lonjakan penanda aras hasil Perbendaharaan AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4230/4275 berbanding dolar AS daripada 4.4205/4255 sewaktu ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, kalangan peniaga tetap berhati-hati dengan lonjakan terkini kes COVID-19 di China yang mungkin sekali lagi menjejaskan pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Para pelabur bersikap optimis selepas China selaku rakan perdagangan terbesar di Asia pada Selasa memaklumkan, ia akan melonggarkan sekatan kuarantin dalam negara," katanya.

Bercakap kepada Bernama, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, selepas bermula dalam keadaan tidak memberangsangkan hari ini, sentimen ringgit bertambah baik pada sepanjang sesi.

"Warga tempatan terus menjual dolar AS apabila melihat isyarat kelemahan ringgit dengan memikirkan bahawa lambungan pelancongan di China akan berlaku beberapa bulan lagi berdasarkan kepada langkah segera pembuat dasar di negara itu mengenai dasar sifar COVID-19," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3257/3312 daripada 5.3267/3327 sewaktu ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3012/3048 daripada 3.3182/3222 sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2802/2840 daripada 3.2847/2889 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.7043/7091 daripada 4.7092/7145.

-- BERNAMA