KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan kekurangan pemangkin baharu walaupun Indeks Dolar AS (DXY) bergerak ke bawah sebanyak 0.2 peratus, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan jatuh kepada 4.4185/4225 berbanding dolar AS daripada kadar 4.4155/4210 pada penutup Rabu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berdasarkan prestasi pasaran ekuiti, kelihatan mod risiko masih dapat disaksikan walaupun kebimbangan semakin berkurangan terhadap sektor perbankan Amerika Syarikat.

"Ringgit kini bergerak sedikit di atas paras sokongan RM4.4099, dan tidak lagi berada dalam kedudukan terlebih jual, membayangkan ia memerlukan pemangkin yang lebih kukuh untuk terus meningkat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4533/4582 daripada 5.4531/4599 ketika ditutup pada Rabu, susut berbanding euro kepada 4.7985/8028 daripada 4.7943/8003, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3282/3315 daripada 3.3524/3569 semalam.

Pada masa yang sama, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang Asean.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3244/3279 berbanding 3.3219/3263 semalam, turun sedikit berbanding peso Filipina pada 8.12/8.13 daripada 8.11/8.12 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 293.60/294.00 daripada 293.20/293.70 semalam.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8970/9147 daripada 12.9267/9485.

-- BERNAMA