KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa ia tidak akan mempertimbangkan kenaikan 75 mata asas pada masa hadapan.

Sebelum ini, rizab tersebut telah menaikkan kadar faedah sebanyak setengah mata peratusan dan memberi isyarat bahawa ia akan berbuat demikian pada kadar yang sama dalam dua mesyuarat akan datang.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.3465/3515 berbanding dolar AS daripada paras penutup yang dicatatkan semasa Jumaat lepas iaitu 4.3520/3570.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata dengan kemungkinan kenaikan 0.75 mata peratusan tersasar daripada jadual buat masa ini, pasaran berkeupyaan bagi mengurangkan kedudukan kukuh dolar AS yang berlanjutan agak lama.

"Dolar AS merosot berbanding pasaran membangun dan mata wang Asia, daripada perspektif teknikal, indeks dolar AS harus bertahan di sekitar tahap berkenaan, sebelum, meneruskan aliran menaiknya," tambah beliau.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit diniagakan secara meluas sejajar dengan sentimen terhadap dolar AS hari ini.

Mata wang tempatan itu, bagaimanapun, melemah berbanding euro, ia jatuh kepada 4.6056/6108 daripada 4.6018/6071, menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1549/1588 daripada 3.1543/1584 tetapi naik berbanding pound Britain kepada 5.4622/4685 daripada 5.4652/4715.

Berbanding yen Jepun, ia diniagakan pada 3.3517/3558 daripada 3.3392/3433 yang direkodkan pada Jumaat sebelum ini.

-- BERNAMA