KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, dipacu oleh sentimen positif susulan langkah pembukaan semula China yang dijangka terus mengundang kehadiran pelabur ke pasaran Asia.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.3660/3715 berbanding dolar AS daripada 4.3835/3925 pada Jumaat lepas.

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit memanfaatkan penyusutan dolar AS/yuan China di bawah paras 7.00 susulan sentimen pembukaan semula yang mendorong pelabur memasuki pasaran Asia.

Pelabur melihat paras semasa itu sebagai peluang untuk membeli saham-saham China.

"Keyakinan itu terus mendorong permintaan terhadap mata wang Asia berikutan dagangan aset berkaitan China yang meningkat," katanya kepada Bernama.

Innes berkata peniaga tukaran asing China juga perlu menjual dolar AS menjelang jangkaan kemasukan aliran permintaan itu.

"Dinamik sama berlaku di Malaysia apabila jangkaan lonjakan eksport ke China itu menyaksikan peniaga tukaran asing melihat ringgit sebagai lebih kukuh," katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6087/6146 daripada 4.6136/6231 pada Jumaat dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2379/2425 daripada 3.2463/2535.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3632/3700 daripada 5.3781/3892 pada Jumaat lepas dan naik berbanding yen kepada 3.2291/2334 daripada 3.2698/2768, sebelum ini.

-- BERNAMA