KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari terakhir dagangan tahun ini berikutan pembukaan semula sempadan China dan jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah AS yang kurang agresif yang telah meningkatkan mata wang tempatan, kata seorang peniaga.

Unit negara maju merosot selepas data pekerjaan AS memperlihatkan peningkatan dalam faedah pengangguran, menambahkan lagi jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan kurang agresif terhadap kadar faedah.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3995/4095 berbanding dolar AS kepada 4.4180/4215 sewaktu ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, peniaga berkata mata wang selamat itu bersedia untuk menikmati tahun terbaiknya sejak 2015, disokong oleh peningkatan kadar faedah daripada Fed dengan indeks dolar AS pada 104.9.

Beliau berkata momentum kukuh di pasaran ekuiti turut menyokong ringgit.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama, ringgit berada dalam peningkatan akhir tahun yang "amat kukuh," didorong oleh pembukaan semula China.

"Ketiadaan sebarang tajuk berita yang negatif dari kawasan di mana pelancong China tiba selepas perjalanan ditangguhkan selama tiga tahun, disifatkan sebagai berita baik.

"Ia juga berita baik untuk destinasi pelancong China seperti Thailand dan Malaysia serta positif untuk mata wang tempatan mereka," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2930/3051 daripada 5.3255/3297 sewaktu ditutup pada Khamis dan meningkat berbanding euro kepada 4.6881/6988 daripada 4.7078/7116 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.3307/3385 daripada 3.3061/3090 pada Khamis dan menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.2786/2865 daripada 3.2770/2800 semalam.

-- BERNAMA