KUALA LUMPUR: Nilai ringgit kembali tinggi berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini selepas mencatatkan penurunan selama lima hari.

Namun begitu, sentimen di pasaran tukaran asing masih tidak menentu disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan krisis tenaga Eropah, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6250/6290 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam 4.6285/6310.

Walau bagaimanapun, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz memberi amaran bahawa dolar AS dijangka meneruskan kenaikan berterusan berbanding ringgit, dan pada masa yang sama, keadaan turun naik pasaran yang melampau boleh memberi kesan tempias dan menjejaskan pasaran dengan ketara.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.4812/4850 daripada 4.4184/4208 semalam, lega berbanding pound Britain kepada 4.9978/5.0021 daripada penutupan Rabu pada paras 4.9409/9436 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2187/2220 daripada 3.1954/1975.

Ringgit turut merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2058/2088 daripada 3.1974/1993 sebelumnya.

--BERNAMA



TAG: ringgit, dolar AS, kadar faedah, ActivTrades, tukaran asing