KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut sedikit berbanding dolar AS ketika memulakan urus niaga pagi ini di tengah-tengah permintaan yang kukuh untuk mata wang Amerika Syarikat itu, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.13 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.3575/3600 daripada dolar AS berbanding penutupan urus niaga Rabu pada 4.3565/3605.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata prestasi nilai dolar AS yang bertambah baik adalah disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah sebanyak 0.5 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan diadakan pada awal Mei.

"Dolar AS terus meningkat berbanding ringgit tetapi pada kadar yang lebih perlahan.

"Bagaimanapun, dolar AS sudah mula menunjukkan tanda-tanda 'keletihan" daripada pergerakan kenaikan harga yang meluas," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau menambah perang di Ukraine dan pandemik COVID-19 baru-baru ini di Asia telah menyaksikan pelabur meninggalkan aset berisiko tinggi dan mencari aset selamat seperti dolar AS.

"Tahap seterusnya untuk penjual ialah pada 4.3660.

"Pada masa ini nampaknya tidak mungkin pergerakan dolar AS berbanding ringgit akan dapat menembusi paras berkenaan tanpa terlebih dahulu melihat penyusutan semula yang besar," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3816/3838 daripada penutup Rabu 3.4056/4090 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5941/5967 daripada 4.6236/6278 sebelumnya.

Ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1526/1548 daripada penutup semalam 3.1592/1625 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4626/4657 daripada 5.4844/4894.

-- BERNAMA