KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus meningkat dan dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan pagi ini.

Prestasi yang baik ini didorong oleh langkah pelabur mendapatkan semula mata wang sedang pesat membangun tatkala krisis perbankan global semakin reda selain menjelang keputusan mengenai kadar faedah AS pada pertengahan minggu, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4680/4730 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat pada 4.4850/4880.

Menurut Kenanga Research, untuk tinjauan minggu ini, beberapa data akan dikeluarkan di pasaran domestik termasuk perangkaan perdagangan luar dan laporan harga pengguna bagi bulan Februari pada Jumaat ini.

"Selain itu, tumpuan utama minggu ini adalah keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan diadakan pada Selasa dan Rabu," katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit lebih tinggi berbanding euro kepada 4.7741/7794 daripada 4.7743/7775 tetapi menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3690/3733 daripada 3.3679/3704 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4465/4526 daripada 5.4390/4426 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain pula, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 291.10/291.60 daripada 292.20/292.60 pada Jumaat dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3346/3388 daripada 3.3393/3418.

Ringgit menyusut nilai berbanding baht Thailand kepada 13.1350/1559 daripada 13.0987/1151 minggu lepas dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.18/8.19 berbanding 8.19/8.20 sebelumnya.

-- BERNAMA