KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS hari ini menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena perayaan Krismas.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.4225/4260 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4215/4255 pada Khamis.

"Keseluruhannya, pasaran berada dalam suasana percutian tetapi ketidakpastian berhubungan inflasi di Amerika Syarikat (AS) meningkat menjelang pengumuman indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS pada lewat hari ini.

"Ini mengekalkan sentimen risiko tempatan dan pertukaran asing di Asia," kata rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2754/2785 daripada paras penutup. 3.2798/2833 pada Khamis dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3352/3381 daripada 3.3486/3521.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3349/3391 daripada 5.3522/3571 dan menokok berbanding euro kepada 4.6927/6964 daripada 4.7085/7127.

-- BERNAMA