KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) susut kepada AS$108.2 bilion (AS$1=RM4.50) pada 30 Ogos, 2022, daripada US$110.9 bilion setakat 15 Ogos lepas.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Menurut bank pusat itu dalam kenyataannya semalam, komponen utama rizab antarabangsa berkenaan adalah rizab mata wang asing (AS$96.1 bilion), kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas atau SDR (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 billion).

Aset-aset tersebut merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM476.5 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.64 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset lain (RM34.18 bilion).

Dalam pada itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM161.65 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.23 bilion), deposit institusi kewangan (RM165.97 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM12.96 bilion), deposit lain (RM12.06 bilion), kertas Bank Negara (RM8.26 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) serta liabiliti lain (RM4.1 bilion).

-- BERNAMA