KUALA LUMPUR:Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$108.6 bilion pada 29 Jan, 2021, berbanding AS$107.8 billion pada 15 Jan.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$100.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (AS$1.2 bilion), emas (AS$2.4 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.2 bilion).

Aset-aset ini terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM436.59 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.14 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.95 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM18.47 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM17.07 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM169.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM137.68 bilion), deposit oleh institusi kewangan RM140.61 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.5 bilion), deposit-deposit lain (RM11.91 bilion), kertas Bank Negara (RM10.22 bilion), peruntukan SDR (RM7.79 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.62 bilion).

-- BERNAMA