KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$111.1 bilion pada 30 Julai, 2021, kekal tidak berubah dari 15 Julai.

Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek, menurut bank pusat dalam kenyataan.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$103.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$1.2 bilion), emas (AS$2.2 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion).

Aset-aset terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR berjumlah RM461.83 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.22 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM727.36 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM20.36 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM15.61 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM184.72 bilion), mata wang dalam edaran (RM142.46 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM141.82 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM15.65 bilion), deposit lain (RM7.95 bilion), kertas Bank Negara (RM8.50 bilion), peruntukan SDR (RM7.97 bilion) dan liabiliti lain (RM4.71 bilion).

-- BERNAMA