Rizab Malaysia mengekalkan kebolehgunaan pada akhir Jun 2019, dengan aset rizab rasmi berjumlah US$102.72 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$58.5 juta, mengikut format Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman mata wang asing, sekuriti dan deposit, yang termasuk antara lain, pembayaran balik berjadual pinjaman luar negara oleh kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara apabila matang, berjumlah US$5.81 bilion.

"Kedudukan hadapan pendek berjumlah US$14.69 bilion pada akhir Jun 2019, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.47 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat itu berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka adalah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$336.2 juta.

"Tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan, kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain dan BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," katanya.

-- BERNAMA