Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kerajaan bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata antara barangan terlibat adalah tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam paket 1 kilogram (kg).

"Selain itu, ia turut melibatkan beras tempatan 15 peratus hancur pek 10kg, petrol RON 95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan menggalakkan pengguna untuk turut terlibat dalam pemantauan harga barangan dan mengurangkan khidmat pegawai pemantau harga.

Bagi tujuan itu, Guan Eng menggalakkan pengguna untuk memuat turun aplikasi paparan harga 'Price Catcher' sebagai platform pemantauan harga barangan melalui perkongsian data.

Beliau berkata perkhidmatan aplikasi itu bukan sahaja akan memanfaatkan semua pengguna untuk mengetahui harga terbaik di pasaran, malah ia juga akan membantu pihak berkuasa memantau amalan penentuan harga yang menyalahi undang-undang.

"Kerajaan juga akan memperuntukkan RM20 juta ke arah penguatkuasaan yang lebih berkesan," katanya.

-- BERNAMA