Sebanyak RM33.4 bilion atau 48.48 peratus, daripada RM69 bilion yang diperuntukkan bagi projek pembangunan kerajaan tahun ini, telah dibelanjakan setakat 16 Ogos, 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata bagaimanapun perbelanjaan itu belum mencapai separuh daripada jumlah yang telah diperuntukkan untuk tahun ini walaupun telah memasuki September.

"Perbelanjaan ini tidak sampai separuh dan ini menjadi isu kepada kerajaan kerana kita mahu menggerakkan ekonomi, ada banyak sebab yang telah menjejaskan prestasi antaranya penularan pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mempercepatkan projek pembangunan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat mengenai projek naik taraf asrama 14 tingkat dan podium Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Lawatan itu adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pemantauan di peringkat akar umbi dijalankan secara berkala bagi meneliti perkembangan semasa susulan pembukaan semula ekonomi negara.

-- BERNAMA