KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang telah dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri sewajarnya dipuji kerana telah menampakkan suatu usaha kerajaan secara inklusif.

Saya mendapati RMK-12 ini mengambil kira semua keadaan seperti kehendak norma baharu ekonomi masa hadapan, PPN dan pasca COVID-19, ini adalah bagus untuk kemapanan pertumbuhan sosioekonomi negara terutamanya pemulihan drastik ekonomi negara.

Sememangnya Keluarga Malaysia menantikan usaha sebegini bagi meredakan tekanan yang dialami sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19.

Saya berpandangan, fokus kerajaan dalam menerima guna teknologi baharu dengan usaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri adalah langkah yang tepat.

Ini juga merupakan satu kemandirian yang membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi negara luar jika kita cipta dan hasilkannya sendiri dan menjana pendapatan sendiri.

Elemen menangani ketirisan ekonomi juga dapat dilakukan dengan mempraktikan sistem ekonomi berteraskan teknologi. Selain melonjakkan negara berpendapatan tinggi ianya dapat merapatkan jurang pengangguran melalui inisiatif 4IR, MyDigital dan transformasi PMKS dan fokus-fokus lain.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

Tumpuan terhadap hala tuju yang strategik bagi mencapai ‘Keluarga Malaysia- Makmur, Inklusif, Mampan’ memberi makna kepada kita semua.

Diharapkan agar kerajaan benar-benar dapat mencapai pertumbuhan KDNK daripada 4.5 peratus sehingga 5.5 peratus disamping menjadi sebuah  negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.

Satu jawatankuasa pemandu peringkat Kabinet harus diwujudkan bagi memastikan agar setiap apa yang dirancangkan  dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi kehendak rakyat Malaysia. 

Keseimbangan pembangunan dan kekayaan negara adalah penting untuk kita sebagai Keluarga Malaysia terumanya dalam menyediakan perancangan jangka panjang modal insan generasi muda Malaysia.

Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL)